Dalam artikel “Bagaimana Melabur Ketika Pasaran Merudum? (Bahagian 1)” yang lalu, kita telah berbincang mengenai perbezaan antara pelabur dan spekulator, cara melabur semasa ekonomi menurun serta perbandingan antara saham kitar dan bukan kitar. Kali ini, kita akan memberi perhatian pula terhadap pelaburan dalam saham dividen, unit amanah, bon dan bagaimana membuat peruntukan aset.
Saham dividen
Ada juga pelabur yang lebih cenderung kepada saham dividen yang ditawarkan oleh syarikat yang memberikan aliran pulangan dividen yang berterusan. Harga saham dalam kategori ini boleh dikatakan lebih stabil. Biasanya, pelabur akan membandingkan kadar hasil dividen dengan kadar bebas risiko iaitu kadar deposit jangka masa pendek. Rasionalnya ialah jika kadar hasil dividen sentiasa lebih tinggi daripada kadar bebas risiko, adalah lebih menguntungkan untuk pelabur memegang saham itu daripada memasukan wang dalam simpanan tetap. Selain itu, pelabur juga berkemungkinan meraih keuntungan modal semasa harga saham itu naik.
Anda boleh menganggar harga sesebuah saham berdasarkan nisbah penilaian saham, seperti harga/perolehan atau harga/aliran tunai. Lebih rendah nisbahnya maka lebih baiklah saham tersebut. Biasanya, pelabur lebih cenderung melihat kepada aliran tunai sesebuah syarikat kerana ianya kurang meruap (turun dan naik) dan harganya tidak begitu mudah dimanipulasikan. Walau bagaimanapun, anda sepatutnya melakukan kajian sendiri supaya dapat melabur dalam syarikat-syarikat yang mempunyai asas yang kukuh.
Unit amanah
Jika anda ingin mempelbagaikan portfolio pelaburan, unit amanah mungkin menjadi pilihan terbaik. Bergantung kepada jenis dana yang dipilih, risiko melabur dalam dana begini sepatutnya lebih rendah kerana portfolio suatu unit amanah terdiri daripada banyak jenis saham berbanding pelaburan individu yang terhad kepada beberapa saham sahaja. Terdapat pelbagai jenis unit amanah, contohnya terdapat dana indeks yang memantau prestasi indeks secara menyeluruh dan lebih murah daripada segi yuran pengurusan. Terdapat juga dana yang melabur secara khusus dalam saham tertentu sahaja seperti saham pendapatan atau saham pertumbuhan. Apabila memilih dana pelaburan, jangan lupa menyemak prestasi lampau serta pendekatan pelaburan dana itu sebelum menyesuaikannya dengan tahap risiko dan pulangan anda.
Pelaburan bon
Jika anda masih risau dan tidak yakin untuk melabur dalam saham risiko rendah seperti saham bukan kitar atau saham dividen, mungkin penyelesaian terbaik untuk anda ialah menjauhkan diri daripada pelaburan saham dan mempertimbangkan pelaburan yang mempunyai risiko lebih rendah seperti bon.
Apabila ekonomi berada dalam aliran menurun, biasanya kerajaan akan mengurangkan kadar faedah untuk menggalakkan perbelanjaan. Hasilnya, harga bon cenderung untuk meningkat. Oleh itu, semasa keadaan ekonomi yang lembap, bon ialah satu lagi pilihan untuk pelabur. Anda boleh memilih daripada bon berkualiti tinggi atau bon yang disokong kerajaan (contohnya Bon Simpanan Merdeka untuk golongan emas atau Sukuk Simpanan Rakyat untuk orang awam, yang membawa risiko yang rendah.
Anda juga boleh melabur dalam bon di bank-bank komersil. Faktor yang paling penting untuk dipertimbangkan dalam pelaburan bon ialah risiko yang berkaitan dengan sesuatu bon tersebut. Sentiasalah ambil perhatian terhadap prestasi lampau bon tersebut, walaupun ia tidak semestinya mencerminkan prestasi pada masa depan kerana faktor perubahan ekonomi. Apabila kadar faedah atau kadar inflasi meningkat, harga bon kebiasaannya akan menurun. Sehubungan itu, bon tidak memberi perlindungan yang baik daripada kesan inflasi.
Peruntukan aset
Untuk menghadkan risiko terutamanya semasa keadaan pasaran yang sangat tidak menentu, portfolio yang terdiri daripada kombinasi saham dan bon adalah lebih selamat berbanding dengan pelaburan dalam satu-satu kelas aset sahaja. Berdasarkan objektif risiko dan pulangan, anda boleh memilih mana satu yang perlu dilebihkan. Tetapi sentiasa ingat untuk menyimpan wang tunai yang boleh digunakan ketika kecemasan.
Kesimpulannya, semasa pergerakan ekonomi yang menurun, terdapat pelbagai cara untuk mengekalkan dan meningkatkan pelaburan anda. Ingat, pilihan anda tidak terhad kepada saham, unit amanah dan bon sahaja. Anda masih boleh melabur dalam pasaran merudum asalkan anda tahu tahap risiko yang boleh dihadapi. Akan tetapi, jika anda memilih untuk tidak melabur langsung atau tidak berbuat apa-apa dalam pasaran sebegini, orang yang paling rugi nanti ialah anda sendiri. Bak kata seorang tokoh pelaburan terkenal: "Be fearful when others are greedy and greedy when others are fearful."
“Jangan melabur ketika semua orang melabur, sebaliknya melaburlah ketika semua orang tidak berani melabur).
Menghadapi Mehnah Kehidupan
10 years ago




![[Most Recent Quotes from www.kitco.com]](http://www.kitconet.com/charts/metals/gold/tny_au_en_usoz_2.gif)