AIR ZAMZAM 1KOTAK 24 BOTOL 500ML RM240

AIR ZAMZAM 1KOTAK 24 BOTOL 500ML RM240
Kos pos dibayar oleh pembeli

Sunday, May 8, 2011

Saham alami aliran menyusut

KUALA LUMPUR 8 Mei - Harga saham di Bursa Malaysia berkemungkinan terus mengalami aliran menyusut minggu ini dengan kenaikan kadar faedah dan penjualan besar-besaran dalam komoditi dijangka memberi kesan ketara terhadap bursa tempatan.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meneruskan pembetulan menurunnya untuk menguji paras sokongan psikologi 1,500.
"Kami percaya berita lama yang kurang memberangsangkan akan kembali dengan para pelabur bimbang mengenai kemelesetan berganda global dan krisis hutang negara di negara maju," katanya.
Semasa minggu yang baru berakhir, dilaporkan indeks Reuters-Jefferies CRB, penanda aras komoditi global, turun hampir lima peratus, yang merupakan penurunan mingguan terbesar sejak akhir 2008.
Ini mempengaruhi sentimen pelabur di pasaran Asia.
Bursa tempatan juga mengalami aliran menurun dengan kelemahan di pasaran luar, yang ragu-ragu tentang pertumbuhan ekonomi dunia dengan data pekerjaan Amerika Syarikat yang teruk serta harga komoditi yang menjunam.
Pada Khamis lalu, Bank Negara Malaysia, menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 basis mata kepada 3.00 peratus berkuat kuasa serta merta, manakala Keperluan Rizab Berkanun (SRR) akan meningkat daripada 2.00 peratus kepada 3.00 peratus berkuat kuasa 16 Mei.
Ahli ekonomi berkata, langkah itu bertujuan mengimbangi risiko peningkatan tekanan inflasi dan menjangka lebih banyak kenaikan kadar faedah pada tahun ini.
Pada Jumaat, bursa tempatan ditutup dengan pelabur berhati-hati tentang peningkatan tekanan terhadap inflasi.
Nazri berkata, selain kenaikan kadar faedah, peningkatan dalam dolar Amerika dan kelemahan ringgit, mungkin juga menyumbang tekanan menurun terhadap bursa tempatan.
"Mengenai strategi minggu ini, kami mencadangkan pelabur agresif kami supaya menangguhkan jualan dalam niaga hadapan indeks manakala pelabur konservatif perlu kekal dengan kelas aset defensif (seperti bon dan utiliti pulangan tinggi) dan menambah pegangan tunai mereka," katanya.
Bagi asas minggu, indeks utama susut sebanyak 19.45 mata kepada 1,515.5 daripada 1,534.95 pada Jumaat sebelumnya.
Indeks Kewangan berkurangan 87.41 mata kepada 13,951.75 daripada 14,039.16 sebelumnya. Indeks Perusahaan susut 73.71 mata kepada 2,718.66 daripada 2,792.37 pada Jumaat sebelumnya.
Indeks Perladangan turun 93.61 mata kepada 7,496.24 daripada 7,589.85 pada Jumaat sebelumnya.
Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas susut 132.14 mata kepada 10,443.95 daripada 10,576.09 sebelumnya manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia Ace berkurangan 137.99 mata kepada 4,249.51 daripada 4,387.50.
Pasaran ditutup pada Isnin sempena Hari Pekerja.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 3.924 bilion saham bernilai RM5.45 bilion daripada 5.007 bilion saham bernilai RM4.901 bilion minggu sebelumnya.
Di pasaran utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 2.952 bilion saham bernilai RM5.217 bilion daripada 3.705 bilion saham bernilai RM6.139 bilion daripada sebelumnya.
Jumlah dagangan di pasaran ACE susut kepada 727.938 juta saham bernilai RM183.183 juta daripada 974.502 juta saham bernilai RM182.796 juta minggu sebelumnya.
Waran turun kepada 234.004 juta units bernilai RM44.087 juta daripada 310.393 juta unit bernilai RM61.455 juta sebelumnya. - BERNAMA

Wednesday, May 4, 2011

Bagaimana Melabur Ketika Pasaran Merudum?

Dalam artikel “Bagaimana Melabur Ketika Pasaran Merudum? (Bahagian 1)” yang lalu, kita telah berbincang mengenai perbezaan antara pelabur dan spekulator, cara melabur semasa ekonomi menurun serta perbandingan antara saham kitar dan bukan kitar. Kali ini, kita akan memberi perhatian pula terhadap pelaburan dalam saham dividen, unit amanah, bon dan bagaimana membuat peruntukan aset.

Saham dividen

Ada juga pelabur yang lebih cenderung kepada saham dividen yang ditawarkan oleh syarikat yang memberikan aliran pulangan dividen yang berterusan. Harga saham dalam kategori ini boleh dikatakan lebih stabil. Biasanya, pelabur akan membandingkan kadar hasil dividen dengan kadar bebas risiko iaitu kadar deposit jangka masa pendek. Rasionalnya ialah jika kadar hasil dividen sentiasa lebih tinggi daripada kadar bebas risiko, adalah lebih menguntungkan untuk pelabur memegang saham itu daripada memasukan wang dalam simpanan tetap. Selain itu, pelabur juga  berkemungkinan meraih keuntungan modal semasa harga saham itu naik.
Anda boleh menganggar harga sesebuah saham berdasarkan nisbah penilaian saham, seperti harga/perolehan atau harga/aliran tunai. Lebih rendah nisbahnya maka lebih baiklah saham tersebut. Biasanya, pelabur lebih cenderung melihat kepada aliran tunai sesebuah syarikat kerana ianya kurang meruap (turun dan naik) dan harganya tidak begitu mudah dimanipulasikan. Walau bagaimanapun, anda sepatutnya melakukan kajian sendiri supaya dapat melabur dalam syarikat-syarikat yang mempunyai asas yang kukuh.

Unit amanah


Jika anda ingin mempelbagaikan portfolio pelaburan,  unit amanah mungkin menjadi pilihan terbaik. Bergantung kepada jenis dana yang dipilih, risiko melabur dalam dana begini sepatutnya lebih rendah kerana portfolio suatu unit amanah terdiri daripada banyak jenis saham berbanding pelaburan individu yang terhad kepada beberapa saham sahaja. Terdapat pelbagai jenis unit amanah, contohnya terdapat  dana indeks yang memantau prestasi indeks secara menyeluruh dan lebih murah daripada segi yuran pengurusan. Terdapat juga dana yang melabur secara khusus dalam saham tertentu sahaja seperti saham pendapatan atau saham pertumbuhan. Apabila memilih dana pelaburan, jangan lupa menyemak prestasi lampau serta pendekatan pelaburan dana itu sebelum menyesuaikannya dengan tahap risiko dan pulangan anda.


Pelaburan bon
Jika anda masih risau dan tidak yakin untuk melabur dalam saham risiko rendah seperti saham bukan kitar atau saham dividen, mungkin penyelesaian terbaik untuk anda ialah menjauhkan diri daripada pelaburan saham dan mempertimbangkan pelaburan yang mempunyai risiko lebih rendah seperti bon.
Apabila ekonomi berada dalam aliran menurun, biasanya kerajaan akan mengurangkan kadar faedah untuk menggalakkan perbelanjaan. Hasilnya, harga bon cenderung untuk meningkat. Oleh itu, semasa keadaan ekonomi yang lembap, bon ialah satu lagi pilihan untuk pelabur. Anda boleh memilih daripada bon berkualiti tinggi atau bon yang disokong kerajaan (contohnya Bon Simpanan Merdeka untuk golongan emas atau Sukuk Simpanan Rakyat untuk orang awam, yang membawa risiko yang rendah.
Anda juga boleh melabur dalam bon di bank-bank komersil. Faktor yang paling penting untuk dipertimbangkan dalam pelaburan bon ialah risiko yang berkaitan dengan sesuatu bon tersebut. Sentiasalah ambil perhatian terhadap prestasi lampau bon tersebut, walaupun ia tidak semestinya mencerminkan prestasi pada masa depan kerana faktor perubahan ekonomi. Apabila kadar faedah atau kadar inflasi meningkat, harga bon kebiasaannya akan menurun. Sehubungan itu, bon tidak memberi perlindungan yang baik daripada kesan inflasi.

Peruntukan aset

Untuk menghadkan risiko terutamanya semasa keadaan pasaran yang sangat tidak menentu, portfolio yang terdiri daripada kombinasi saham dan bon adalah lebih selamat berbanding dengan pelaburan dalam satu-satu kelas aset sahaja. Berdasarkan objektif risiko dan pulangan, anda boleh memilih mana satu yang perlu dilebihkan. Tetapi sentiasa ingat untuk menyimpan wang tunai yang boleh digunakan ketika kecemasan.

Kesimpulannya, semasa pergerakan ekonomi yang menurun, terdapat pelbagai cara untuk mengekalkan dan meningkatkan pelaburan anda. Ingat, pilihan anda tidak terhad kepada saham, unit amanah dan bon sahaja. Anda masih boleh melabur dalam pasaran merudum asalkan anda tahu tahap risiko yang boleh dihadapi. Akan tetapi, jika anda memilih untuk tidak melabur langsung atau tidak berbuat apa-apa dalam pasaran sebegini, orang yang paling rugi nanti ialah anda sendiri. Bak kata seorang tokoh pelaburan terkenal: "Be fearful when others are greedy and greedy when others are fearful."


“Jangan melabur ketika semua orang melabur, sebaliknya melaburlah ketika semua orang tidak berani melabur).

Tuesday, April 5, 2011

Harga saham Asia tertinggi 3 tahun



Harga minyak mentah kini meningkat ke paras tertinggi dua tahun setengah berikutan kemelut yang berlaku di Asia barat. Telaga minyak daratan di selatan california mengepam minyak dari perut bumi. - AFP


SINGAPURA 4 April - Pasaran Saham Asia hari ini meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun apabila pertumbuhan yang terdapat dalam sektor pekerjaan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran global.
Pada masa yang sama, nilai Euro meningkat untuk 11 bulan berturut-turut berbanding Yen, menggalakkan pasaran mata wang berkenaan minggu ini.
Namun begitu, bursa saham Eropah menguncup selepas terdapat proses pengambilan untung yang besar pada minggu lalu dan pelabur mula berhati-hati dengan mesyuarat penetapan data yang diadakan oleh Bank Pusat Eropah dan Bank England minggu ini.
''Apabila ekonomi kembali kepada asal, bank pusat menjangkakan kadar inflasi akan menjadi masalah utama berbanding pertumbuhan,'' kata ejen Capital Spreads, Jonathan Sudaria.
Pengambil tempahan menjangkakan indeks utama Eropah akan dibuka lebih rendah sebanyak 0.2 hingga 0.5 peratus, manakala S&P 500 Futures SPc1 dikurangkan sebanyak 0.2 peratus disebabkan kelemahan pasaran saham Amerika Syarikat (AS).
Minyak mentah dunia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh dua hingga satu setengah tahun berikutan kekalutan di Timur Tengah dan peperangan di Libya telah meningkatkan ketakutan terhadap gangguan bekalan.
Data menunjukkan sektor pekerjaan AS bertambah kukuh untuk dua bulan berturut-turut pada Mac lalu telah memberi impak terhadap Wall Street pada Jumaat lepas.
Pelabur mentafsirkannya sebagai petunjuk kepada pemulihan ekonomi, bagaimanapun kebanyakan penganalisis menjangkakan situasi berkenaan tidak akan mengubah kelonggaran dasar yang diamalkan Rizab Persekutuan ketika ini.
Sementara itu, bank pusat Eropah dilihat semakin pasti menaikkan kos pinjaman sebanyak 25 peratus mata asas pada Khamis bagi menyokong mata wang tunggal rantau itu walaupun timbul kebimbangan akan berlaku bebanan hutang yang tinggi di beberapa negara yang berada di zon Euro.
Kebanyakan bank pusat Asia khususnya di Jepun telah pun mengetatkan kawalan bagi mengelakkan inflasi dan gelembung aset.
"Penilaian terhadap pasaran saham merupakan cara terbaik tetapi ia akan meningkatkan inflasi dan mewujudkan kebimbangan kepada dunia tahun ini,'' kata Ketua Pelaburan Strategik Asia-Pacific Russell Investments, Andrew Pease.

Thursday, September 2, 2010

Paras Tertinggi saham

Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks petunjuk pasaran mencecah paras tinggi baharu, disokong oleh minat belian ke atas beberapa saham berwajaran tinggi terpilih, kata para peniaga.

Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) meningkat 9.11 mata atau 0.6 peratus untuk ditutup pada 1,441.07.Indeks telah dibuka 5.55 mata lebih tinggi pada 1,437.51. Ia telah mencecah paras tinggi seharian 1,441.8, melepasi 1,439.49 mata yang dicatatkan pada 18 Jan, 2008.

Seorang peniaga berkata indeks utama disokong oleh penyertaan kukuh dana-dana asing dan tempatan.

"Asas-asas indeks petunjuk pasaran masih lagi baik berbanding rakan-rakan serantaunya yang lain," kata beliau sambil menambah keuntungan semalaman di Wall Street dan pengukuhan ringgit turut menyediakan sokongan untuk pasaran tempatan.

Indeks Kewangan menambah 60.63 mata kepada 12,949.83, Indeks Perladangan naik 51.22 mata kepada 6,642.5 dan Indeks Perindustrian meningkat 26.1 mata kepada 2,770.8.

Indeks FBM Emas lebih tinggi 70.19 mata kepada 9,598.74, Indeks FBM70 menokok 83.561 mata kepada 9,329.66 dan Indeks FBM ACE naik 34.97 mata kepada 3,716.43.

Jumlah dagangan mengembang kepada 1.075 bilion saham bernilai RM1.87 bilion daripada 949.219 juta saham bernilai RM2.077 bilion semalam.

Saham-saham untung mengatasi saham rugi dengan 511 berbalas 256 sementara 258 kaunter tidak berubah, 341 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung. Di kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.50 dan Sime Darby menambah dua sen kepada RM8.42. Maxis turun satu sen kepada RM5.37 dan CIMB kekal pada RM7.80.

Jumlah dagangan di pasaran utama mengukuh kepada 931.991 juta saham bernilai RM1.846 bilion daripada 831.394 juta saham bernilai RM2.057 bilion pada Rabu.

Waran pula meningkat kepada 78.406 juta unit bernilai RM11.433 juta daripada 60.673 juta unit bernilai RM8.6 juta semalam.Jumlah dagangan di pasaran ACE lebih tinggi kepada 54.841 juta saham bernilai RM8.503 juta daripada 53.011 juta saham bernilai RM7.679 juta sebelumnya.

Produk pengguna menguasai 54.931 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk perindustrian 210.281 juta; pembinaan 81.176 juta; urus niaga dan perkhidmatan 262.238 juta; teknologi 64.5 juta; infrastruktur 43.754 juta; kewangan 70.918 juta; perhotelan 2.248 juta; hartanah 113.200 juta; perladangan 15.971 juta; perlombongan 4,000; REIT 12.609 juta dan dana tertutup 160,000.

Monday, March 8, 2010

Bursa cecah paras tertinggi dua tahun

KUALA LUMPUR 8 Mac - Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia hari ini mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, dirangsang oleh minat kukuh dalam saham-saham perbankan yang melonjak susulan pengumuman kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) minggu lepas, kata penganalisis.

Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) ditutup pada 1,324.22, paras tertinggi sejak Mac 2008, dengan indeks utama mencecah paras tinggi harian 1,325.69 mata.

Ketua Penyelidik Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, pasaran bertindak balas terhadap kenaikan OPR kepada 2.25 peratus selain trend menaik di Wall Street Jumaat lepas.

Beliau berkata, pengumuman kenaikan OPR memberi manfaat kepada saham berwajaran tinggi, terutama sektor perbankan yang membabitkan sebahagian besar FBM KLCI dari segi wajarannya.

Maybank meningkat 12 sen kepada RM7.52, Public Bank menokok 62 sen kepada RM11.94, CIMB Group untung 40 sen kepada RM14.12 dan AMMB Holdings meningkat 15 sen kepada RM4.95.

"Indeks dijangka bertahan melepasi paras 1,300," kata penganalisis teknikal kanan TA Securities, Stephen Soo semasa ditanya sama ada FBM KLCI mampu bertahan pada paras berkenaan.

"Pasaran positif dan jumlah dagangan meningkat. Inilah kriteria yang menyumbang untuk indeks terus meningkat," katanya.

"Secara perlahan-lahan, pasaran saham Malaysia akan meningkat dan mencatatkan paras teringgi baharu sejak trend menaik bermula pada pertengahan Mac tahun lepas," kata HwangDBS Vickers Research.

Bagi mengekalkan momentum, pelabur akan memantau sumber-sumber domestik untuk petunjuk, meskipun trend luar negara masih memain peranan utama dalam mempengaruhi sentimen, kata firma penyelidikan itu.

"Sebagai contoh, mungkin ada banyak tarikan utama yang ditunggu-tunggu seperti pelancaran Model Ekonomi Baharu dan penganjuran persidangan Invest Malaysia 2010 yang dijadual akhir bulan ini," kata HwangDBS Vickers.

"Minggu ini, forum berprofil tinggi - Persidangan Minyak Sawit dan Laurik yang dijadual berlangsung dari Isnin hingga Rabu (8 hingga 10 Mac) - dengan pakar dalam industri akan bercakap mengenai unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) selain unjuran permintaan bekalan," katanya.

Retorik mampu menetapkan arah tuju harga Minyak Sawit Mentah (dan saham perladangan) memandangkan kontrak niaga hadapan MSM tiga bulan (selepas meningkat kepada hampir RM2,700 satu tan pada masa ini) kekal dalam julat antara RM2,000 dan RM2,800 satu tan sejak 11 bulan yang lepas, kata HwangDBS Vickers.

"Acara berikutnya ialah data Indeks Pengeluaran Industri bagi Januari yang akan diumumkan Khamis (11 Mac), yang akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai sama ada pemulihan ekonomi adalah hasil daripasa peningkatan ketara eksport Januari (+37 peratus tahun ke tahun) dan import (+31 peratus) yang dikeluarkan minggu lepas," katanya.

Berdasarkan sentimen pasaran yang positif itu, angka utama pasaran dijangka bergerak ke sasaran ketahanan berikutnya pada 1,340 mata. - BERNAMA

Wednesday, January 6, 2010

FBM KLCI lepasi paras tertinggi baru

KUALA LUMPUR 6 Jan - Harga saham di Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada paras lebih tinggi bagi hari ketiga berturut-turut hari ini meskipun terdapat sedikit kegiatan mengambil untung, kata peniaga.

Belian dana berterusan di kaunter-kaunter berwajaran tinggi terpilih, khususnya dalam sesi dagangan petang, mendorong peningkatan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) kepada 1,296.44 pada pukul 3.55 petang, melepasi paras tertinggi baru dalam tempoh 20 bulan, iaitu 1,290.55, semalam.

Pada pukul 5 petang, indeks pengukur pasaran itu berada pada 1,293.17, 4.93 mata atau 0.38 peratus lebih tinggi berbanding paras penutupan semalam. Ia dibuka 0.62 mata lebih tinggi pada 1,288.86. Indeks Kewangan Bursa Malaysia mengukuh 68.17 mata kepada 11,207.80 dan Indeks Perusahaan meningkat 10.49 mata kepada 2,692.35 tetapi Indeks Perladangan susut 22.67 mata kepada 6,482.41.

Indeks FBMEmas menambah 39.16 mata kepada 8,697.35, Indeks FBM Top 100 meningkat 30.05 mata kepada 8,465.81, Indeks FBM70 maju 21.41 mata kepada 8,519.86 dan FBMACE menokok 9.85 mata kepada 4,484.62.

Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 452 berbanding 299 manakala 239 kaunter tidak berubah dan 313 yang lain tidak diniagakan. Jumlah dagangan susut kepada 1.656 bilion saham bernilai RM1.814 bilion daripada 1.864 bilion saham bernilai RM1.984 bilion semalam.

Perolehan dagangan dalam Pasaran Utama mengecil kepada 1.384 bilion saham bernilai RM1.766 bilion daripada 1.546 bilion saham bernilai RM1.919 bilion.Pasaran ACE mencatatkan penyusutan jumlah dagangan kepada 145.461 juta saham bernilai RM24.943 juta daripada 206.875 juta saham bernilai RM41.879 juta.

Waran berkurangan jumlahnya kepada 52.149 juta unit bernilai RM9.868 juta daripada 94.720 juta saham bernilai RM18.933 juta.

Antara saham cergas, Compugates Holdings turun lima sen kepada tujuh sen manakala Scomi Group meningkat 2.5 sen kepada 50.5 sen.

Barangan pengguna menyumbang 39.452 juta saham daripada saham berwajaran besar yang diniagakan dalam Pasaran Utama, barangan perusahaan 335.379 juta, pembinaan 73.829 juta, Perdagangan dan perkhidmatan 404.350 juta, teknologi 42.155 juta, prasarana 18.564 juta, Kewangan 97.668 juta, hotel 3.139 juta, harta 340.938 juta, perladangan 26.051 juta, perlombongan 12,000, REIT 2.342 juta dan dana tertutup 30,900.- Bernama