AIR ZAMZAM 1KOTAK 24 BOTOL 500ML RM240

AIR ZAMZAM 1KOTAK 24 BOTOL 500ML RM240
Kos pos dibayar oleh pembeli

Monday, June 13, 2011

PM umum pelaburan RM2.27b


NAJIB Tun Razak (belakang, empat kanan) bergambar bersama ketua-ketua syarikat dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) selepas pengumuman pencapaian ETP di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Kuala Lumpur, semalami. Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (belakang, empat kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala (belakang, tiga kanan). – Bernama



KUALA LUMPUR 13 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sembilan lagi inisiatif baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion.
Pelaburan itu memberi impak kepada pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM18.67 bilion dan mewujudkan 36,595 pekerjaan menjelang 2020.
Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan enam projek ETP membabitkan pembinaan loji penapisan dan pembangunan bersepadu petrokimia (RAPID) berjumlah RM60 bilion.
Gabungan kesemua 15 inisiatif ini dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mewakili pelaburan RM63.38 bilion dan GNI sebanyak RM66.13 bilion serta mewujudkan 63,531 peluang pekerjaan baharu.
Najib berkata, secara terkumpul ETP kini mencatatkan pelaburan berjumlah RM170.28 bilion, GNI RM220.15 bilion dan 362,396 pekerjaan baharu.
‘‘Jumlah pelaburan ini adalah terbesar dalam sejarah (pelaburan) direkodkan bagi jangka pendek,’’ katanya ketika mengumumkan kemajuan projek ETP kali keenam di sini hari ini.
Sembilan inisiatif baharu itu melibatkan projek Bandar Pendidikan Perubatan Perdana seluas 64 hektar di Bandar Springhill, Port Dickson oleh Kumpulan UCSI, syarikat induk universiti UCS.
Najib berkata, inisiatif itu juga menyaksikan pembabitan SEGI Education Group dengan lapan buah pembekal latihan Pusat Latihan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) bagi pembinaan pusat latihan ECCE di kawasan Greater Kuala Lumpur dan di seluruh negara.
Di bawah bidang kesihatan, Sime Darby Healthcare Group akan memajukan dua hospital pakar, Sime Darby Medical Centre Ara Damansara (SDMC AD) dan Sime Darby Medical Centre Park City, masing-masing melibatkan pelaburan sebanyak RM240 juta dan RM40 juta.
Selain itu, Biocon juga melabur dalam pembinaan kemudahan di BioXcell, sebuah taman dan persekitaran bio-teknologi di Iskandar Malaysia.
Perdana Menteri berkata, di bawah bidang pertanian, JEFI Aquatech Resouces Sdn. Bhd. akan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar udang terbesar bagi pasaran halal dan antarabangsa .
Katanya, Yanming Resources Sdn. Bhd. pula sedang melabur RM5 juta meningkatkan pengeluaran sarang burung sedia dimakan.
Najib berkata, VADS Bhd. dan Cisco telah memeterai persetujuan membina infrastruktur Telepresence Exchange pertama di Malaysia menawarkan perkhidmatan perhubungan video selenggara kepada sektor awam dan swasta di Malaysia dan negara-negara serantau.
Katanya, Kementerian Pelancongan akan memperkenalkan 1Malaysia Jualan Bersepadu buat kali pertama mulai 15 Jun ini hingga 31 Ogos 2011 dengan menyatukan jualan murah terbesar tiga kali setahun kepada satu jualan besar diselaraskan.
Beliau berkata, Konsortium Rangkaian Serantau Sdn. Bhd. dianggotai 24 buah syarikat sedang mendapatkan harga borong lebih rendah bagi bekalan jalur lebar tempatan dan antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, inisiatif baharu juga membabitkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SMKM) bersama-sama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengadakan sistem pemantauan penghantaran sarang burung ‘swiflet’ ke seluruh dunia.
Katanya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan menerajui program Pencapaian Kestabilan melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) bagi meningkatkan kecekapan tenaga di Malaysia melalui lima daya usaha.
Najib berkata, peningkatan penggunaan peralatan cekap tenaga dibuat dengan menyediakan rebat bagi penghawa dingin dan peti sejuk mulai Julai ini. Katanya, di bawah ETP, Bureau Veritas, peneraju khidmat keakuran membeli Scientige Sdn. Bhd. untuk mengukuhkan keupayaannya.
Perdana Menteri berkata, di bawah perkhidmatan perniagaan AMD merasmikan pusat terbaharunya di Cyberjaya melibatkan pelaburan RM500 juta untuk menyokong perniagaan di seluruh dunia.

Thursday, June 2, 2011

234.56 juta saham disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia

MSM Malaysia Holdings Bhd, iaitu sayap perniagaan gula FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia membabitkan 234.56 juta saham.
Daripada jumlah itu, 206.44 juta saham diperuntukkan kepada pelabur institusi, yang mana 73.811 juta untuk pelabur institusi terpilih tempatan dan asing; 80.8 juta untuk institusi terpilih Bumiputera; dan 51.79 juta untuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF).

Sebanyak 28.12 juta saham pula ditawarkan kepada pelabur runcit, dengan 14.06 juta adalah untuk langganan awam, manakala 14.06 juta lagi untuk kakitangan syarikat itu dan anak syarikatnya yang layak.

Bagi saham yang diperuntukkan kepada pelabur runcit, ia ditawarkan pada harga RM3.38 seunit atau 97 peratus daripada harga muktamad bagi bahagian peruntukan pelabur institusi yang akan ditetapkan menerusi proses bidaan.

Berdasarkan harga tawaran bagi pelabur runcit itu, IPO itu bakal menjana RM792 juta modal, yang mana RM422.5 juta akan diraih oleh MSM Holdings yang akan digunakannya bagi perbelanjaan modal.

Harga itu juga meletakkan nilai syarikat gula terbesar negara itu pada RM2.4 bilion.
MSM Holdings selepas penyenaraiannya akan mempunyai saham berbayar berjumlah 702.98 juta.

Presiden Kumpulan dan Ketua Eksekutif FELDA Global Group, Datuk Sabri Ahmad berkata, sebahagian daripada RM422.5 juta yang dijana menerusi IPO itu akan digunakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran gula syarikat itu kepada 1.5 juta tan berbanding 1.1 juta tan ketika ini.

Antara langkah yang akan diambil katanya, termasuk membeli tanah di rantau ini bagi penanaman tebu, untuk memastikan bekalan gula yang mencukupi.

“Cabang penapisan gula (FELDA) ini adalah yang terbesar di Malaysia hari ini dari segi aktiviti hiliran (tetapi) kami mempunyai jurang yang besar dari segi aktiviti huluan kerana kami mengimport 95 peratus gula mentah.

“Justeru, rancangannya adalah untuk menggunakan dana itu bagi pertumbuhan yang mana salah satu daripada keutamaannya adalah untuk meneroka rantau ASEAN bagi melihat sama ada kami boleh kembangkan perladangan gula,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus IPO syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Ketua Menteri Perlis, Datuk Seri Mohd Isa Sabu.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, penyenaraian MSM Holdings itu mampu meningkatkan kedudukan Bursa Malaysia di kalangan komuniti pelaburan antarabangsa.

Katanya, penyenaraian itu juga akan merangsang syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang lain untuk mengurangkan pegangan saham mereka dalam syarikat berpotensi untuk meningkatkan lagi kecairan dan halaju perdagangan pasaran sekali gus membantu mencergaskan pasaran modal negara.

“Penyenaraian seperti ini sangat ditunggu-tunggu kerana kecairan dalam tawaran awam seperti ini yang agak besar dan mampu menarik minat pelabur domestik dan antarabangsa,” katanya.